KUALA LUMPUR, 10 Julai – Naza TTDI Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian pajakan tanah
selama 32 tahun dengan Home Product Centre (Malaysia) Sdn Bhd (HomePro), membolehkannya
mendirikan kedai menambah baik rumah terkemuka di TTDI Gateway di Shah Alam.

Menurut Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM
Faliq SM Nasimuddin, kedai HomePro dari Thailand itu akan dibina di atas
tapak 1.63 hektar dengan kos RM2.5 bilion.

“Kehadiran kedai HomePro menandakan kerjasama antarabangsa pertama di TTDI
Gateway.

“Ia akan merangsang pembangunan TTDI Gateway untuk menjadi hab gaya hidup
sebenar di Shah Alam,” katanya.

SM Faliq di temui media selepas menandatangani perjanjian pajakan dengan HomePro
bagi pembangunan kedai itu di sini, hari ini.

HomePro diwakili Pengarah Urusannya di Malaysia, Anuchar Jitjaturunt.
Merangkumi tapak 15.7 hektar di Seksyen 13, Shah Alam, TTDI Gateway
akan dibangunkan dalam tiga fasa, mengandungi pejabat, apartmen perkhidmatan dan
outlet runcit dan dijangka siap pada 2020.

Sementara itu, Jitjaturunt berkata, TTDI Gateway akan menempatkan kedai
keduanya di Malaysia selepas IOI City Mall, Putrajaya.

Menurut beliau, HomePro mencatat jualan bernilai RM30 juta dalam enam bulan
pertama pembukaan kedai pertamanya di IOI City Mall dan menyasarkan jualan RM60
juta tahun ini.

HomePro memasuki pasaran Malaysia akhir tahun lepas dengan menawarkan lebih
35,000 produk.

Syarikat itu merancang membuka 12 kedai dalam tempoh lima tahun akan datang
dengan jumlah pelaburan RM500 juta.

Manakala kedai HomePro di TTDI Gateway akan dibina dengan kos RM60 juta dan kerja
pembinaan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan disasar dibuka pada
akhir 2016.

Jitjaturunt berkata, kawasan jualan akan meliputi 9,290 meter persegi
daripada keluasan binaan 26,012 meter persegi.

Dirangsang oleh penerimaan baik daripada pelanggan terhadap kedai
pertamanya, beliau berkata, HomePro optimis akan kejayaan kedainya di TTDI
Gateway. – Sharini Abdulah,Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY