KUALA LUMPUR, 26 Sept – TUMPUAN…. Konglomerat automotif tempatan, Naza World Group, akan memberi tumpuan kepada jenama motosikal premium selepas anak syarikatnya, Naza Prestige Bikes Sdn Bhd, menghentikan operasi sebagai pengedar Harley-Davidson di negara ini.

“Susulan pengumuman ini, Naza World Group akan memberi tumpuan kepada jenama premium lain seperti Indian Motorcycles; Ducati; Aprilia; Piaggio; Vespa dan jenama Naza, sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan dua roda,” kata Naza World dalam satu kenyataan.

Maklum balas itu dikeluarkan selepas Harley-Davidson Asia, mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya bahawa ia sedang mencari pengedar baharu di Malaysia.

Susulan perkembangan terbabit, Harley-Davidson kini tidak mempunyai pengedar rasmi untuk pasaran negara ini buat sementara waktu, sehingga proses pencarian wakil itu dilaksanakan.

Harvey-Davidson Asia dilaporkan sedang berusaha memastikan proses peralihan terbabit berjalan lancar. – WD MY