KUALA LUMPUR, SEPTEMBER 25: LETAK JAWATAN….Datuk Seri Nazir Razak akan meletakkan jawatan beliau sebagai Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB Group) dan semua jawatan lain dalam kumpulan syarikat itu pada 31 Disember 2018.

Menurut CIMB, berikutan itu, Lembaga Pengarah kumpulan CIMB akan mengaktifkan rancangan penggantian bagi menentukan Pengerusi seterusnya.

Nazir telah berkhidmat di CIMB selama 29 tahun sejak 1989, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan selama 15 tahun dan Pengerusi Kumpulan sejak 2014. Di bawah kepimpinannya, CIMB berkembang daripada francais kewangan korporat menjadi bank pelaburan utama Malaysia, sebelum kemudiannya menjadi bank universal utama di ASEAN.

Kumpulan perbankan itu disenaraikan pada 2003 dengan aset RM9.6 bilion dan permodalan pasaran RM1.5 bilion. Setakat 30 Jun 2018, aset kumpulan tersebut berjumlah RM515 bilion, dengan permodalan pasarannya ketika ini berjumlah RM58 bilion.

Mengulas mengenainya, Nazir berkata, adalah sukar untuk mencari masa terbaik bagi  meninggalkan CIMB, tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lewat, namun sentiasa meletakkan kepentingan syarikat itu di fikiran.

“Sejak beberapa minggu lalu, saya telah mengambil masa untuk memikirkannya dan membuat keputusan inilah masa paling sesuai untuk pergi apabila pelan penyusunan semula empat tahun CIMB yang dilancarkan pada 2014, T18 selesai. Tambahan pula, misi kerjaya saya adalah untuk membina CIMB menjadi institusi kewangan utama ASEAN.

“Pada 2014, CIMB melaksanakan peralihan CEO pertama sebagai bank universal dan memulakan T18 bagi mengukuhkan struktur, proses selain semak dan imbang sebuah organisasi yang dibina pantas bagi transformasi serta pengembangan serantau. Ketika T18 semakin hampir tamat, CIMB kini kukuh dari segi kewangan, mantap dari segi organisasi dan teguh dari segi institusi.

“Kami mempunyai pasukan pengurusan cemerlang diterajui oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan barisan pemimpin hadapan di belakangnya. Kejayaan berterusan firma ini selepas pemergian saya akan mengesahkan lagi bahawa misi saya di CIMB telah benar-benar terlaksana,” katanya semalam.-MY WD