SABAK BERNAM, 23 Feb – Datuk Seri Nazri Aziz mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO berikutan kegagalan beliau melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.  

Nazri selaku Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau sendiri akan mencadangkan supaya Muhyiddin disingkirkan daripada parti pada persidangan UMNO akan datang, sekiranya bekas Timbalan Perdana Menteri itu enggan melepaskan jawatan secara sukarela. 

“Sebelum ini, Muhyiddin mencabar Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor supaya mengambil tindakan ke atasnya sekiranya mempunyai bukti yang cukup. 

“UMNO sudah mempunyai bukti yang cukup untuk mengenakan tindakan terhadapnya, cuma beliau sahaja yang tidak sedar. 

“Antara buktinya, beliau secara terang-terangan cuba untuk menjatuhkan Presiden Parti, Datuk Seri Najib Razak, sedangkan sebagai pemimpin nombor dua dalam parti, dia bertanggungjawab untuk membantu perjalanan parti,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja sekitar Tanjung Karang, di sini, semalam.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin terhadap Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor supaya mengambil tindakan terhadapnya sekiranya mempunyai bukti yang cukup. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, berkata Muhyiddin seolah-olah tidak menyedari dirinya melakukan kesilapan sedangkan perkara itu sudah diketahui umum.

“Sebelum Persidangan Agong UMNO, beliau ada membuat perjumpaan, bukan sahaja untuk ahli tapi terbuka kepada orang ramai, yang bertujuan menghentam Presiden.

“Malah, baru-baru ini juga beliau turut membuat kenyataan mengenai 1MDB dan isu RM2.6 billion selain mempersoalkan keputusan Jabatan Peguam Negara sedangkan beliau tidak layak untuk mempersoalkannya,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY