Neelofa Antara Duta Dilantik Untuk TN50

0
127

KUALA LUMPUR, 22 Mei – TN50…… Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, antara 10 individu yang dilantik menjadi duta belia baharu Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Pelantikan itu menjadikan TN50 kini memiliki 23 duta belia, yang berjaya dalam bidang masing-masing, selepas 13 individu dipilih pada April lalu.

Neelofa, baru-baru ini disenaraikan antara 300 individu berpengaruh dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017, bagi kategori Runcit dan E-Dagang, selain menjadi inspirasi kepada wanita untuk berdikari.

Individu lain yang dipilih adalah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup; Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Izhar Ariff; pemuzik Iban, Gabriel Fairuz Louis.

Selain itu, Pengurus Eksekutif (Operasi) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jufitri Joha; Pengasas dan Pengarah Urusan JuaraGym, Ben Uzair; pereka seni halus, Anniketyni Madian.

Turut terpilih adalah usahawan pembangunan tenaga kerja dan pendidikan profesional, Dr Juliana Lim; pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Help Somebody, Dr Esther Michael dan sukarelawan Reef Check, Nadhirah Mohd Rifai.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata pelantikan duta baharu itu dijangka bakal membina gelombang lebih besar dengan membawa semangat dan agenda TN50, selain merancakkan lagi program yang dirancang.

“Ketika ini, masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi mengembangkan pengetahuan rakyat, selain menyatakan program TN50 bukan propaganda kerajaan, sebaliknya pentas orang muda menyatakan aspirasi mereka untuk 30 tahun akan datang.

“Kita mempelbagaikan wakil belia daripada pelbagai bidang dan saya yakin mesej TN50 akan sampai kepada seramai mungkin rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Duta Belia TN50, di sini, hari ini. – WD MY