KUALA LUMPUR, MAC 6 – Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa masih kekal sebagai ikon Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18) yang diterima Januari lepas, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dakwaan bahawa Neelofa digugurkan sebagai ikon wanita negara adalah tidak benar, kata kementerian itu.

“Pihak kementerian melihat segala sumbangan dan kejayaan yang telah diraih Neelofa sebelum ini dan percaya ia dapat memberi inspirasi kepada para wanita untuk terus bergerak lebih jauh dan berdaya saing bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Kementerian melihat daripada sudut yang positif apa yang akan disumbangkan beliau untuk memperkasa wanita,” katanya dalam kenyataan SEMALAM.

Menurut kementerian, perbincangan antara pihak kementerian dan Neelofa telah dibuat sebelum beliau diumumkan sebagai Ikon TMW18 dan kedua-dua pihak bersetuju memberikan yang terbaik bagi memastikan setiap agenda dan program yang dirancang akan dapat dilaksanakan untuk terus memajukan wanita. – MY WD