KUALA LUMPUR, 16 April – SAMA…..Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negara serantau terutama ASEAN perlu membentuk jaringan koordinasi dan integrasi lebih baik membabitkan agensi pertahanan dan keselamatan mereka.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia sentiasa meletakkan kepentingan supaya negara anggota membentuk kerjasama pertahanan bagi menjamin keselamatan lebih baik di rantau ini.

“Dalam persekitaran hari ini, penting bagi tentera dan pasukan keselamatan awam kita bekerja rapat antara satu sama lain bagi membolehkan tindakan berkesan dalam memerangi ancaman luaran,” katanya.

Beliau berucap melancarkan persidangan dan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-16 dan pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 malam tadi.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Persidangan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, itu berlangsung empat hari bermula esok.

Ahmad Zahid berkata, dunia perlu bersedia menghadapi cabaran keselamatan terutama gerakan keganasan seperti Daesh dan Al-Qaeda yang menggunakan ekstremisme dan taktik pengganasan untuk menyebarkan pengaruh mereka.

Menyentuh mengenai DSA Ke-16, Ahmad Zahid berkata, ia bukan saja memberi impak besar dari segi pemindahan pengetahuan berkenaan teknologi dan teknikal, tetapi juga akses kepada pakar dan pembuat keputusan dalam dunia pertahanan.

NATSEC Asia, katanya, adalah contoh terkini kerjasama yang berjaya dibentuk membabitkan pasukan pertahanan dan keselamatan negara dan bagi Malaysia, langkah ini membolehkan pasukan tentera dan polis membentuk kerjasama lebih erat.

“Acara ini akan memberikan penyelesaian intelek kepada pembuat dasar. Ini adalah peluang bagi peserta untuk menyatakan pendapat dan perkongsian dalam hal keselamatan dalaman sama ada bidang teknologi, prosedur atau dasar.

“Pengenalan NATSEC Asia 2018 pastinya akan memperluaskan portfolio DSA. Saya percaya kita dapat mencapai lebih banyak hasil positif berkaitan pertahanan dan keselamatan negara untuk semua negara peserta,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, siri DSA sentiasa mengiktiraf keperluan untuk kerjasama yang lebih baik antara unit pertahanan di rantau ini, seterusnya mendapat sokongan yang kuat dari masyarakat pertahanan antarabangsa.

Menerusi persidangan ini, beliau berharap Malaysia mampu memiliki firma keselamatan yang tersohor di peringkat antarabangsa dengan penghasilan teknologi yang kompetitif untuk seluruh dunia.

Selain pameran teknologi pertahanan, turut diadakan persidangan meja bulat @ Chief of Army Round Table Talk (Chart), Forum Chemical, Biological, Radiological dan Nuclear Explosives (CBRNe), Business to Business (B2B), Forum Putrajaya 2018 dan Program Belia 2018.

Lebih 1,500 syarikat dari 60 negara akan mempersembahkan produk dan teknologi perubatan pada DSA 2018, yang bakal memanfaatkan penggerak industri dari dalam dan luar negara. – WD MY