KUALA LUMPUR, 25 Okt – Hutang Masih Terkawal….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan masih terkawal dan negara dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

Najib berkata, sehingga akhir Jun lalu, jumlah hutang negara adalah RM655.7 bilion atau 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah itu, 95.9 peratus atau RM626.8 bilion adalah hutang domestik, manakala 4.1 peratus atau 26.9 bilion adalah pinjaman pesisir.

“Kedudukan hutang Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana. Hutang yang dibuat kerajaan bertujuan membiayai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan kerajaan.

“Pinjaman yang dibuat itu digunakan untuk pembiayaan yang produktif dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta manfaat rakyat seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan empangan.

“Secara tidak langsung, ia akan memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi,” katanya. – WD MY