PASIR PUTEH, 15 Mei – Dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika
ke laut untuk memancing ikan dua hari lepas, dijumpai selamat dan dibawa pulang
ke Pantai Sabak, Pengkalan Chepa, hari ini.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah
Maritim 10 Tok Bali, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata nelayan
berkenaan Hasni Mohd Nor, 44, dan Suhaimi Hamid, 52, yang keluar ke laut 2 pagi
Rabu lepas, ditemui 18 batu nautika dari barat laut Pulau Perhentian,
Terengganu, pada 6 petang semalam.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dalam keadaan sihat.

“Bot yang mereka naiki rosak dan hanyut sehingga 18 batu nautika dari barat
laut, Pulau Perhentian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nurul Hizam berkata nelayan terbabit dijumpai oleh sebuah bot pukat tunda
dan bot yang rosak itu ditunda ke jeti Pantai Sabak hari ini.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY