DUNGUN, 10 Julai – Selamat……Lima nelayan dari Kampung Baru Kuala Abang di sini, yang dilaporkan hilang di laut sejak 28 Jun lalu ditemui selamat pagi tadi.

Lima nelayan terbabit iaitu tekong bot, Kamaruzaman Awi,43, bersama adiknya, Roslin Awi, 38, dan dua sepupu, Mohamad Zamri Ab Rahman,43, serta Abdullah Ab Rahman, 25, selain seorang rakan, Zakaria Mamat, 39, selamat sampai ke Jeti Kuala Dungun, di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Kamaruzaman berkata, enjin bot mereka gagal dihidupkan selepas mengalami kerosakan bateri sejak 1 Julai lalu ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Dungun, menyebabkan mereka hanyut di tengah laut selama sembilan hari.

Katanya, bot nelayan Vietnam memberi bantuan kira-kira jam 6 petang semalam, sebelum enjin bot dinaiki mereka berjaya dihidupkan semula dan mereka bertolak pulang.

“Kami sepatutnya pulang pada 1 Julai lalu, namun terkandas di tengah laut akibat masalah enjin bot.

“Sepanjang sembilan hari hanyut dan terputus bekalan makanan, kami semua akhirnya selamat sampai di Dungun,” katanya yang kemudian dibawa bersama empat yang lain ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kepulangan lima nelayan terbabit dan berkata, kes berkenaan kini selesai. – WD MY

LEAVE A REPLY