BAITULMAQDIS, 20 SEPT – BENTUK…. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini, mempelawa pencabarnya, Benny Gantz untuk membentuk kerajaan perpaduan, ketika keputusan pilihan raya menunjukkan kedua-dua pihak gagal memperoleh majoriti undi.

Netanyahu menyatakan hasrat itu dalam satu mesej video dan berkata beliau memilih untuk membentuk pakatan haluan kanan, tetapi keputusan menunjukkan ia mustahil untuk dilaksanakan.

Kenyataan itu dianggap satu perkembangan terbaharu susulan pilihan raya umum Israel pada Selasa lalu, yang meletakkan kedudukan Netanyahu sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat dalam keadaan goyah.

“Ketika pilihan raya, saya menggesa pembentukan kerajaan berhaluan kanan.

“Tetapi keputusan pilihan raya menunjukkan ia tidak mungkin berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Gantz akan menerima pelawaan Netanyahu untuk membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, Netanyahu yang bakal berdepan tuduhan rasuah, terus berusaha untuk kekal sebagai perdana menteri. – WD MY