KUALA LUMPUR, OKTOBER 22: HENTIKAN…Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran) menggesa semua projek pembangunan di lereng bukit di Pulau Pinang dihentikan berikutan kes tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong yang mengorbankan tujuh nyawa Jumaat lepas.

“Semua rancangan yang melibatkan pembinaan atau pembangunan di lereng bukit harus dikaji semula untuk langkah-langkah keselamatan pekerja, langkah-langkah mitigasi bagi memastikan kestabilan cerun, dan kerosakan dan kesan alam sekitar,” kata Aliran dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aliran, NGO itu terkejut dengan insiden berkenaan yang berlaku hampir setahun selepas kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah, yang mengorbankan 11 pekerja pembinaan bagi sebuah projek perumahan.

“Walaupun tidak jelas apa sebenarnya berlaku di Bukit Kukus, kejadian tanah runtuh baru-baru ini membangkitkan beberapa isu. Salah satunya adalah mengenai keselamatan pekerja, dalam insiden ini pekerja asing dari Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.

“Ia menyerlahkan isu keselamatan mereka, terutamanya arahan pemberhentian kerja di tapak itu baru-baru ini telah dikeluarkan apabila 14 batang galang konkrit tumbang.

“Kita bertanya mengenai peraturan keselamatan di tapak berkenaan untuk memastikan keselamatan para pekerja, apakah langkah-langkah keselamatan yang diambil di Bukit Kukus? Bolehkah kematian mangsa-mangsa ini dielakkan?” soalnya.

Menurut Aliran, sebuah lagi NGO, Penang Hill Watch, membangkitkan isu keselamatan di kawasan cerun bukit di Bukit Kukus kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini.

Menurutnya kerajaan negeri Pulau Pinang dilaporkan berkata langkah-langkah pengurangan hakisan tanah tidak dilaksanakan selepas pemeriksaan ke tapak pembinaan dijalankan di seluruh negeri itu.

“Sekiranya garis panduan keselamatan untuk pembangunan cerun bukit tidak dipatuhi dan jika penguatkuasaan tidak berfungsi dengan berkesan, adalah tidak beretika untuk meneruskan pembangunan cerun bukit kerana tidak mengambil langkah-langkah untuk menjamin keselamatan pekerja dan meletakkan nyawa mereka dalam risiko,” katanya.

Hujan lebat semalam yang berlaku pada 19 Okt lalu menyebabkan runtuhan tanah di kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Terdahulu pada 11 Okt, 14 batang galang konkrit yang digunakan dalam pembinaan jalan bertingkat 600 meter menghubungkan Jalan Bukit Kukus hingga Jalan Tun Sardon juga runtuh.

Selepas kejadian pada 11 Okt itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengarahkan kerja-kerja dihentikan namun tiada tindakan diambil.-MY WD