DOHA, 29 Jun – Tindakan…… Satu NGO, Suruhanjaya kumpulan hak asasi manusia Qatar akan menggunakan khidmat peguam dari Switzerland menuntut pampasan bagi pihak yang terjejas akibat tindakan negara Teluk memutuskan hubungan dengan negara itu.

Pengerusinya, Ali Smaikh Al-Marri berkata, suruhanjaya itu akan mengambil tindakan terhadap Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang memutuskan hubungan dengan Doha bulan ini.

“Kami akan berbincang dengan mereka yang terjejas akibat pelbagai sekatan dalam usaha memulakan tindakan undang-undang itu, ” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, tiga negara berkenaan bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada mereka yang terjejas.

Beliau berkata, ramai rakyat Qatar yang layak menerima pampasan itu.

“Beberapa kes akan difailkan di mahkamah tiga negara terbabit dan beberapa lagi di mahkamah yang mempunyai bidang kuasa antarabangsa seperti di Eropah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan firma dari Switzerland yang akan dipilih, tetapi berkata satu kenyataan rasmi berhubung perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi. – WD MY