SEPANG, SEPTEMBER 3:TERUJA…Kejayaan merangkul pingat emas dan gangsa dalam penampilan terakhirnya pada Sukan Asia memberi suntikan semangat buat ratu skuasy Datuk Nicol David untuk terus melakar kemenangan pada musim baru Jelajah PSA.

“Memang detik yang manis untuk meraih kemenangan selepas beberapa ketika… ia tidak kurang mencetus kegembiraan untuk memenangi emas pada Sukan Asia.

“Masih segar selepas Sukan Asia… saya fikir saya akan bermula dengan cukup baik (Terbuka China) pada musim baru persaingan. Matlamat saya untuk memulakan setiap pertandingan dengan keputusan baik. Terbuka China kejohanan pembuka tirai musim apabila semua 20 pemain utama beraksi di sana,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini sekembalinya dari Jakarta.

Nicol tiba di KLIA selepas beraksi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang sebelum meneruskan penerbangan ke Shanghai untuk bertanding pada Terbuka China bermula Rabu ini.

Pada 26 Ogos lalu, ratu skuasy negara itu yang menyambut hari jadi ke-35 tepat pada hari perlawanan akhir, meraih pingat emas kedua kontinjen Malaysia.

“Untuk memenangi pingat emas kelima individu dalam penampilan saya kali keenam pada Sukan Asia, ia cukup istimewa,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Ia pingat emas kelima diraih Nicol pada Sukan Asia selepas memenangi emas dalam empat edisi terdahulu pada 1998 (Bangkok), 2006 (Doha), 2010 (Guangzhou) dan 2014 (Incheon).

Nicol bagaimanapun sekadar meraih pingat perak individu di Busan 2002 selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Rebecca Chiu.

“Sebenarnya ia bukan mudah, ia satu persaingan sukar berdepan pemain muda dan berinspirasi seperti S Sivasangari. Dia benar-benar mengasak dan saya terpaksa mencurahkan segala pengalaman untuk mencabarnya. Saya gembira ia berhasil dengan kejayaan meraih emas,” kata Nicol.

Pemain nombor lima dunia itu mengatasi saingan sengit pemain remaja kebangsaan, Sivasangari sebelum menang dalam lima set yang mendebarkan 11-13, 11-9, 5-11, 11-6, 11-8 pada final skuasy individu wanita Sukan Asia.-MY WD