PUTRAJAYA, 18 Sept – KESELAMATAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan memberi tanggungjawab kepada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk melihat aspek keselamatan di semua sekolah termasuk maahad tahfiz di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata pihaknya akan menjemput NIOSH bagi menyertai pasukan petugas khas untuk melihat soal keselamatan berkenaan.

“Kita mahu anak-anak termasuk guru dan tenaga kerja sekolah selamat dan berada pada tahap kesihatan dan keselamatan tertinggi.

“Kita bagi tanggungjawab kepada NIOSH untuk melihat supaya kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat tidak berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-20, di sini hari ini.

Persidangan berkenaan membabitkan penyertaan lebih 1,200 peserta tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, pasukan petugas khas ini diwujudkan atas keprihatinan kerajaan supaya kejadian kebakaran sama tidak berulang lagi.

“Keselamatan anak-anak dan guru perlu diberi keutamaan dan ini tugas baru untuk NIOSH untuk bersama-sama kerajaan tentukan supaya sekolah di negara ini selamat dan mematuhi piawaian keselamatan.

“Pembabitan NIOSH penting kerana kerajaan tidak akan membiarkan Kementerian Pendidikan melihat soal keselamatan mengikut sudut pendidikan sahaja tanpa dibantu,” katanya. – WD MY