KUALA LUMPUR, 22 April – Sandang……. Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B, Mohd Nizam Omar, memenangi jawatan presiden pertubuhan itu pada pemilihan barisan kepemimpinan baharu yang berlangsung semalam.

Mohd Nizam menggantikan penyandang Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin yang melepaskan jawatan dipegang sejak 2009 berikutan perlembagaan organisasi berkenaan menetapkan had maksimum dua penggal untuk mana-mana individu memegang jawatan berkenaan.

Keputusan itu diumumkan awal pagi tadi selepas 327 perwakilan mengundi petang semalam.

Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B, Ahmad Zakir Abdul Rahman, berkata Mohd Nizam menewaskan penyandang Naib Presiden 1, Ahmad Daniar Ismail, dengan majoriti 77 undi.

Mohd Nizam yang meraih undi daripada 186 perwakilan akan memegang jawatan itu untuk tiga tahun atau maksimum empat tahun, tertakluk kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Pemilihan barisan kepemimpinan baharu itu berlangsung sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-38 Gerakan Belia 4B yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, semalam.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, penyandang Pengerusi Gerakan Belia 4B Selangor, Hafez Shurudin menang tanpa bertanding.

Penyandang Pengerusi Gerakan Belia 4B Perak yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pusat, Mohd Amin Osman memenangi jawatan Naib Presiden II, manakala Setiausaha Gerakan Belia 4B Terengganu, Anas Hazizul Mohamad yang juga Ahli MKT Pusat menduduki jawatan Naib Presiden II.

Jawatan Naib Presiden menyaksikan lima calon bertanding bagi merebut dua kerusi. – WD MY