PUTRAJAYA, 8 Feb – Terima….. Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar di sini.

Jamal berkata, beliau nekad dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan tersebut kerana tidak mahu membebankan UMNO susulan penahanannya berhubung insiden pencerobohan sebuah pusat hiburan pada Disember tahun lepas.

“Beliau (Noh) menasihatkan saya supaya menarik balik surat peletakan jawatan itu tetapi saya nyatakan kepada beliau bahawa pendirian saya jelas, tidak mahu menjadi beban kepada UMNO kerana saya sayangkan parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jamal berkata Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menghormati pendirian tersebut dan akan membawa perkara itu untuk dibincangkan di peringkat pengurusan parti.

Beliau yang berhasrat untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaannya selepas ini, bagaimanapun berkata akan meneruskan amanah yang diberi pucuk pimpinan parti jika diminta berbuat demikian. – WD MY