KUALA LUMPUR, 11 APRIL – SHOWCASE…. Kekangan kewangan dan jualan tiket kurang memberangsangkan membuat penyanyi, Noraniza Idris hampir membatalkan showcase Sawo Matang yang bakal berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, bagaimanapun menarik balik hasrat itu selepas memikirkan semua itu dilakukan untuk terus memartabatkan lagu tradisional.

Penyanyi Awallah Dondang itu juga, tekad meneruskan perancangannya kerana tidak mahu menghampakan harapan generasi baharu yang berminat terhadap seni dan budaya.

“Mengenang kembali kepayahan menganjurkan showcase ini, terutama dalam keadaan kewangan yang sangat terhad kerana tidak menerima sebarang tajaan, saya rasa kecewa.

“Pernah juga terfikir untuk membatalkan sahaja kerana tidak mahu peningkan kepala. Namun, suami banyak memberi suntikan semangat dan dorongan untuk saya teruskan penganjuran showcase ini.

“Terkilan juga kerana banyak impian tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekangan bajet, terutama khidmat pemuzik, aspek tayangan visual dan penyanyi latar,” katanya.

Noraniza yang ditemui pada sesi latihan di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini, baru-baru ini berkata, showcase itu tetap diteruskan mengikut kemampuan.

“Saya tidak mahu mengecewakan barisan penari yang kebanyakannya anak muda. Bimbang jika dibatalkan, ia akan membantutkan hasrat mereka untuk terus memartabatkan muzik tradisi,” katanya.

Julung kali menganjurkan showcase, penyanyi yang popular dengan lagu Hatinya Tak Tahan itu mengakui, apa yang berlaku memberikannya pengalaman baharu.

‘Memang mencabar sebenarnya kalau kita buat showcase semata-mata mengharapkan jualan tiket. Saya tidak ambil langsung bayaran, sebaliknya wang yang saya dapat digunakan untuk membayar mereka yang terbabit.

“Persiapan juga memerlukan masa, sedangkan saya hanya ada tiga minggu selepas sidang media untuk memastikan semuanya lengkap.

“Selain itu, saya juga perlu pastikan tiada konsert lain dibuat pada masa sama. Difahamkan, sepanjang bulan ini, banyak konsert dianjurkan, sekali gus penonton terpaksa membuat pilihan,” katanya.

Untuk showcase itu, penyanyi yang berasal dari Kluang, Johor ini akan menyampaikan 26 lagu, secara solo dan medley. Tiket dijual pada harga RM119 hingga RM189, manakala RM50 untuk pembelian pukal boleh diperoleh dengan menghubungi Harithmai Production di talian 019-3391445. – WD MY