KUALA LUMPUR – 30 Mei – TUTUP…..Restoran makanan daun pisang, Raj’s Banana Leaf, diarah menghentikan operasinya serta merta selepas video menunjukkan pekerjanya mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan belakang premis itu di Bangsar, viral semalam.

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Chandrakant Patel, berkata premis terbabit diarahkan tutup sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Katanya, penutupan adalah bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan berdasarkan syarat yang sudah ditetapkan untuk pengendali restoran ke atas premis berkenaan.

“Sebaik sahaja viral video berkenaan, kami hadir di premis ini hari ini untuk mengarahkan agar restoran ini ditutup serta merta sehingga dimaklumkan kelak.

“Bersama DBKL, dua lagi pihak iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Buruh yang turut hadir untuk menjalankan pemeriksaan berdasarkan bidang kuasa masing-masing.

“Berdasarkan pemeriksaan terakhir sebelum ini, restoran ini mendapat rating ‘A’ untuk kebersihan.

“Kita masih memeriksa pemilik sebenar restoran ini, setakat pemeriksaan awal, kita dapati premis berkenaan tidak mempunyai kawasan mencuci peralatan yang sempurna dan mengikut piawaian,” katanya kepada media hari ini.

Semalam, viral sebuah video di media sosial dan aplikasi Whatsapp memaparkan pekerja didakwa daripada restoran makanan daun pisang, Raj’s Banana Leaf mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan.

Pihak pengurusan restoran berkenaan mengakui insiden itu membabitkan kakitangannya dan menjelaskan ia dilakukan oleh pekerja baharu.

Pengurusan restoran juga menegaskan sudah mengambil tindakan terhadap pekerja terbabit dan turut memohon maaf menerusi akaun Facebook rasminya. – WD MY