SEREMBAN,JUN 11: BELUM SEDIA..Kerajaan negeri belum bercadang untuk memberikan air percuma kepada penduduk negeri ini seperti dilakukan di Selangor kerana ia tiada dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH) negeri ini.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan secara lanjut dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

“Saya rasa perkara ini (air percuma) perlu dibincangkan lebih lanjut dengan pihak yang berkenaan kerana PH Negeri Sembilan tidak menawarkannya dalam manifesto PRU lalu.

“Saya juga terkejut apabila Pengarah SAINS mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu. Sebenarnya tidak ada masalah jika kita mampu memberikan air percuma kepada rakyat tapi khuatir jika tidak mampu melakukannya.

“Fokus saya sekarang adalah hendak melihat dulu struktur keseluruhan pengurusan SAINS dan memastikan syarikat berkenaan dapat diuruskan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis suaikenal dengan ahli jawatankuasa Kelab Akhbar Negeri Sembilan (KELANA) di Negeri FM Sungai Gadut Senawang di sini.

Baru-baru ini, Pengarah SAINS, Wan Rasdi Wan Ismail berkata, pihaknya akan mematuhi sebarang arahan daripada pentadbiran kerajaan negeri dan bersedia untuk memberikan air percuma.

Katanya, SAINS masih menunggu perbincangan dengan kerajaan negeri dan tidak ada masalah untuk mengikut jejak langkah Selangor dan Johor jika diminta berbuat demikian oleh kerajaan negeri dan mungkin menyediakan 10 atau 20 meter padu air percuma setiap bulan.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap media dapat memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan negeri membangunkan negeri itu ke tahap lebih maju dan cemerlang.

Beliau berkata, media juga perlu bertanggungjawab dan berlaku adil dalam laporan mereka untuk memastikan kebebasan bersuara itu dapat difahami sepenuhnya.

“Memang kita (PH) menggalakkan kebebasan bersuara tetapi ia perlu bertanggungjawab dan adil serta tidak mencetuskan suasana tidak baik dalam negeri dan negara. Kerajaan negeri bersedia menerima teguran dan pandangan kerana matlamat adalah untuk memastikan kebaikan negeri dan rakyat,” katanya.