PEKAN, MAC 25:NTP…Laporan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 membuktikan kerajaan berusaha membela dan meningkatkan tahap ekonomi golongan berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata laporan itu juga menunjukkan masyarakat luar bandar seperti pekebun kecil, nelayan dan pesawah padi turut mendapat pembelaan sewajarnya.

Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebagai contoh masyarakat luar bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar bukan saja menerima kemudahan asas sempurna, malah turut menerima pelbagai bantuan yang tidak pernah terfikir sebelum ini.

“Selain menerima elaun sara hidup setiap bulan dan subsidi bahan api, golongan nelayan turut menerima bantuan peralatan menangkap ikan seperti pukat, bot serta alat pengesan taburan ikan di laut.

“Bagi golongan berpendapatan rendah yang menceburi bidang perniagaan, mereka menerima pelbagai kemudahan dan bantuan daripada agensi kerajaan dalam usaha menambah pendapatan keluarga,” katanya pada program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Pekan di Dewan Orang Ramai Nenasi, di sini, hari ini.

Program anjuran Wanita UMNO Pekan itu menarik penyertaan lebih 1,000 masyarakat setempat yang berpeluang membeli 15 jenis barangan pada harga lima hingga 25 peratus lebih murah.

Mohammad Fakhruddin berkata, pembentangan laporan NTP oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, membuktikan apa yang dijanjikan sudah dikotakan, malah kerajaan sentiasa merancang pelbagai agenda untuk membantu semua lapisan rakyat.

Beliau berkata, masyarakat Orang Asli yang menjadi penduduk kedua teramai di daerah ini turut menikmati pelbagai keistimewaan seperti kemudahan rumah, pendidikan, bekalan air, elektrik dan jalan.

“Justeru, rakyat boleh menilai sendiri betapa prihatinnya kerajaan yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab diamanahkan, selain terus mengotakan janji.

“Kita juga berharap rakyat membuat pilihan tepat dengan memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, kerana sudah membuktikan usahanya untuk terus membela nasib rakyat,” katanya.-MY WD