SHAH ALAM, 24 Mei – Bukti…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Program Transformasi Nasional (NTP) membuktikan Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kuat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, bagaimanapun, negara masih boleh mencapai kejayaan yang lebih baik jika Malaysia mampu menggarap sentimen dalam kalangan pelabur asing dan domestik.

“Saya ingin mengucapkan tahniah secara peribadi dan secara rasmi kepada Perdana Menteri atas pencapaian luar biasa pada tahun 2016 dan pencapaian dalam pelbagai bidang di luar ekonomi itu amat mengagumkan.

“Dari segi pencapaian ekonomi kita mengetahui bahawa secara dasarnya, negara kita mempunyai asas yang kukuh,” katanya kepada media malam tadi.

Beliau mengulas pembentangan laporan Tahunan Program Transformasi Nasional 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, biarpun kadar jenayah berjaya menunjukkan penurunan pada tahap 47 peratus dalam keadaan menghadapi pelbagai cabaran, ia masih belum memuaskan hatinya.

“Biarpun pelbagai persepsi kita terpaksa depani namun hakikatnya ialah perangkaan berdasar pada pencapaian PDRM selama ini.

“Ini (masih) tidak puaskan hati saya, sebaliknya kami akan terus berusaha untuk menentukan agar dapat mencapai penurunan kadar jenayah dengan lebih baik lagi,” katanya. – WD MY