KUALA LUMPUR, 7 April – Nuan Nuan yang bermaksud ramah mesra, dipilih sebagai nama anak pasangan panda gergasi, Xiang Xiang dan Liang Liang.

Pemilihan nama itu diumumkan oleh Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Zoo Negara, sebentar tadi.

Nuan Nuan yang kini berusia tujuh bulan dengan berat 16.5 kilogram akan berada di Malaysia selama dua tahun sebelum dipulangkan kepada China.

Nama itu dicadangkan oleh Oh Teik Peng, guru Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak. Beliau berjaya membawa pulang hadiah utama sebuah PERODUA MyVi.

Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi diadakan pada 17 November hingga 17 Disember lalu dan mendapat 22,830 penyertaan.

Daripada jumlah itu, hanya sembilan dipilih oleh penganjur melalui saringan yang telus dan sistematik oleh panel juri profesional sebelum dihantar kepada Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) untuk persetujuan.

Kerajaan Malaysia menerima Xing Xing dan Liang Liang dari kerajaan China pada 21 Mei 2014 sebagai tanda meraikan ulang tahun ke-40 jalinan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Liang Liang melahirkan anak panda betina pada 18 Ogos tahun lalu dan anak panda gergasi itu mula dipamerkan kepada pengunjung Zoo Negara pada 17 November selepas hampir tiga bulan dikuarantin. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY