PUTRAJAYA, 8 APRIL – MENANG…. Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 menyaksikan dominasi drama rantaian Nur yang meraih enam trofi utama termasuk Drama Pilihan.

Pada acara yang disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi pengarah drama itu, Shahrulezad Mohameddin diangkat sebagai Pengarah dan Penulis Skrip Pilihan.

Pasukan produksi Radius One Sdn Bhd terus meraikan kejayaan apabila teraju utama drama Nur, Syafiq Kyle diumumkan sebagai Aktor Pilihan hasil lakonan mantapnya sebagai Ustaz Adam.

Namun, teman gandingannya, Amyra Rosli terpaksa akur dengan kecemerlangan Janna Nick yang memenangi trofi Aktres Pilihan menerusi wataknya dalam Semerah Cinta Humairah.

Bagaimanapun, keserasian antara Syafiq dan Amyra membolehkan mereka memenangi kategori Pasangan Pilihan.

Kategori Antagonis Pilihan terus diungguli Nur apabila trofi itu menjadi milik Azhan Rani. Drama rantaian Nur disiarkan menerusi slot Samarinda TV3, tahun lalu.

Anugerah DFKL 2019 yang dikendalikan Awal Ashaari, turut diserikan dengan segmen persembahan artis seperti Anuar Zain dan Sarah Suhairi.

Senarai pemenang DFKL 2019:

Drama Pilihan : Nur

Pengarah Pilihan : Shahrulezad Mohamed Din (Nur)

Aktor Pilihan : Syafiq Kyle (Nur)

Aktres Pilihan : Janna Nick (Semerah Cinta Humairah)

Pasangan Pilihan : Syafiq Kyle dan Amyra Rosli (Nur)

Antagonis Pilihan : Azhan Rani (Nur)

Penulis Skrip Pilihan : Shahrulezad Mohameddin (Nur)

Lagu Tema Pilihan: Jatuh Bangun (Shah & Zam)

Drama Pendek Pilihan:

Orang Kita

Nelayan Siblings

Butang Hukum

Drama Rantaian Bahasa Cina : My Sensei Nyonya (Mediacorporation Studio (M) Sdn Bhd)