KUALA LUMPUR,OKTOBER 20: TUDUHAN…. Anak kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menganggap dakwaan ke atas bapanya bersifat ‘tuduhan politik’.

Menurutnya, terdapat pertuduhan yang diambil dari tahun 2014 lagi sedangkan beberapa perkara itu telah diselesaikan sebelum ini ketika bapanya memegang jawatan menteri.

“Pada pendapat saya, ini adalah pertuduhan bersifat politik kerana saya tahu pertuduhan itu adalah pertuduhan sejak dari 2014.

“Pertuduhan itu telah diselesaikan ketika dia (Ahmad Zahid) menjawat jawatan sebagai menteri.

“Tapi kini dibuka semula (kes tersebut) untuk didakwa,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Ketika ditanya keadaan bapanya, Nurulhidayah memberitahu bapanya dalam keadaan baik cuma sedikit penat.

“Alhamdulillah dia tenang tapi bila beberapa pertuduhan yang dibacakan, dia agak penat sebab dia kena berdiri lama, beberapa pertuduhan agak panjang.

“Namun dari segi kondisinya saya lihat dia tenang dan stabil,” ujarnya.-MY WD