GOMBAK, 13 Mac – Bantu……. Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) perlu membantu Bangladesh menggunakan kedudukannya sebagai jiran terdekat Myanmar untuk menyelesaikan isu Rohingya, kata Tan Sri Syed Hamid Albar.
Bekas Duta Khas OIC untuk Myanmar itu berkata langkah itu perlu berikutan tindakan Myanmar mengambil pendekatan untuk berhubung dengan negara-negara Islam secara individu.

“Saya rasa terdapat keperluan untuk menggabungkan usaha membantu Bangladesh. Negara itu mempunyai kekuatan tertentu kerana ia adalah sebuah negara sempadan dan sebuah negara besar.

“Myanmar sentiasa takut dengan populasi di Bangladesh. Ia (Myanmar) takut populasi Bangladesh yang lebih seratus juta orang itu, jika melimpah di sempadan, akan mendatangkan masalah kepadanya,” katanya kepada media selepasĀ  Diskusi Meja Bulat Krisis Rohingya: Inisiatif Semasa Peranan OIC dan Dunia Islam hari ini.
Rundingan meja bulat itu, yang dianjurkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), diadakan bagi membincang, menganalisis dan memberi tumpuan kepada keputusan yang diambil semasa persidangan OIC dan peranan Muslim seluruh dunia dalam usaha menyelesaikan isu Rohingya.

“Sebab itu saya fikir Malaysia, Turki dan negara-negara di Timur Tengah yang tidak mempunyai hubungan secara terus dengan Myanmar tetapi ada kemampuan kewangan kena bersatu kerana jika tidak Myanmar akan memecahbelahkan OIC tanpa disedari,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid yang juga bekas Menteri Luar Malaysia, turut menggesa Myanmar untuk bersikap lebih terbuka kepada kemasukan bantuan kemanusiaan dari mana-mana negara ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita cuma nak minta satu sahaja daripada Myanmar. Selain menghentikan operasi ketenteraan, mereka juga mesti benarkan kemasukan mana-mana bantuan kemanusiaan.
“Sekarang bantuan kemanusiaan masih lagi susah nak masuk (ke Myanmar) melainkan setelah dapat kebenaran. Tetapi nak dapatkan kebenaran pun susah juga.
“Jadi kalau dapat masuk, kita boleh membantu bukan sahaja orang Islam tetapi sesiapa sahaja yang berdepan dengan krisis agar masalah pelarian dapat diatasi,” katanya. – WD MY