KUALA LUMPUR, 6 Dis – SENADA….. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) harus bertindak senada berhubung kemungkinan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, tindakan yang dilihat boleh menjurus kepada konflik dan ketegangan di Timur Tengah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO sebagai tulang belakang kepada parti pemerintah Barisan Nasional (BN) di negara ini, amat dekat dengan isu berkaitan Palestin.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung beberapa saranan yang akan dilakukan Malaysia dalam menangani isu itu.

“Kita merasa terlalu dekat dengan rakyat Palestin dan kita sebagai rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam, pasti merasai apa yang mereka rasa,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan delegasi Hamas dari Palestin di luar Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Delegasi itu diketuai Dr Maher Salah selaku wakil Biro Politik Hamas.

Sementara itu, Hamas mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas usaha berterusannya dalam memperjuangkan Palestin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid dan semua rakyat Malaysia kerana berjuang untuk isu-isu Palestin di peringkat antarabangsa.

Kami berharap para pemimpin Islam supaya melakukan yang sama (berhubung perkara ini), dan kami tidak akan menyerah Jerusalem kepada mereka (Israel),” kata Dr Maher. – WD MY