KUALA LUMPUR, 8 Jun – Diteruskan….. Op Selamat 11 sempena Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada Rabu depan (14 Jun), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata operasi trafik berkenaan diteruskan dengan bertujuan mendidik pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya semasa musim perayaan.

“Selain penguatkuasaan, kesedaran orang ramai juga penting untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di musim perayaan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan di Pusat Latihan Polis, malam tadi.

Belaiu yang juga Menteri Dalam Negeri turut mendedahkan sebanyak 1.4 juta daripada 5.3 juta jumlah saman masih belum dijelaskan oleh pesalah trafik bagi tempoh tahun lepas.

Ahmad Zahid kemudiannya meraikan lebih 1,300 tetamu terutama daripada golongan ibu tunggal, keluarga miskin serta anak yatim, dalam satu majlis moreh.

Berlangsung di Maahad Tahfiz Al-Madrasathul Faridiyah, di Taman Sri Rampai, Setapak, Timbalan Perdana Menteri juga melancarkan projek pembangunan maahad terbabit.

Maahad terbabit yang memulakan operasi sejak 1986, kini mempunyai 55 pelajar yang mengikuti pengajian al-Quran dan fardhu ain.

Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaan pada tahun lalu sudah meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membangunkan maahad terbabit dan ia diharap dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, beliau juga sedia membantu untuk mencari peruntukan tambahan berjumlah RM2.5 juta lagi bagi melengkapkan prasarana di maahad terbabit.

“Tahun lepas dia (pihak pengurusan maahad) mintak RM2 juta. Saya dah mintak kepada ICU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan) tapi ICU rujuk kepada Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri sudah luluskan.

“Ertinya saya tiada sumbangan. Sumbangan saya cuma memanjangkan sahaja. Tapi Perdana Menteri yang luluskan. Insya-Allah saya akan ikhtiar tambah RM2.5 juta lagi,” katanya. – WD MY