KUALA LUMPUR, 31 Dis – OP TUTUP….. 327 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal dan pemandu kereta pada Op Tutup di Jalan Raja Laut di sini, malam tadi.

Operasi khas secara bersepadu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu bertujuan mengekang kegiatan samseng jalanan dan lumba haram di ibu negara menjelang sambutan Tahun Baru 2018, malam ini.

Dengan kekuatan 110 pegawai dan anggota, Op Tutup turut disertai pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Ahmad Adnan Basri yang mengetuai operasi, berkata sebanyak 970 motosikal dan 138 kenderaan lain diperiksa dalam operasi terbabit yang berakhir pada jam 1 pagi tadi.

“Susulan pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 327 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala tiga tangkapan dibuat atas kesalahan dadah dan alkohol.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan yang membawa tiga wanita warga Thailand dalam kereta dipandunya.

“Siasatan lanjut dan ujian urin akan dijalankan ke atas lelaki terbabit manakala tiga wanita Thailand itu akan dibuat semakan dengan Jabatan Imigresen,” katanya.

Tambahnya, operasi berkenaan diharap dapat membendung kegiatan tidak sihat oleh kumpulan ‘mat motor’ seperti berlumba dan membahayakan pengguna jalan raya lain, selain mengganggu ketenteraman awam.

“Mereka gemar melepak pada hujung minggu di lokasi tertentu terutamanya di Dataran Merdeka daripada sekitar jam 11 malam sehingga awal pagi dan membuat aksi berbahaya.

“Mereka semakin ghairah melakukan aksi jika ramai penonton. Operasi ini bagi mengekang kegiatan itu daripada terus berleluasa,” jelas beliau yang turut memaklumkan operasi juga ditumpukan di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Selain itu, katanya, JSPT Kuala Lumpur akan menugaskan 600 anggota dan pegawai di sekitar ibu negara melakukan tugas penyuraian trafik menjelang sambutan ambang tahun baru hari ini bagi mengelak berlaku kesesakan teruk.

“Lokasi tumpuan di laluan sekitar Bukit Bintang, pusat membeli belah Pavilion dan KLCC.

“Kita tidak mahu kesesakan teruk yang berlaku di lokasi terbabit pada malam Krismas lalu, berulang.

“Kesesakan dua hingga tiga jam itu turut menyebabkan berlaku lambakan sampah yang dibuang oleh mereka yang terperangkap dalam kesesakan,” katanya. – WD MY