KUALA LUMPUR, 25 Jan – Penyamaran…. Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melakukan penyamaran bagi memantau pematuhan keselamatan dan tingkah laku pemandu bas ekspres menerusi Operasi Bersepadu Khas Tahun Baharu Cina, yang bermula sejak Sabtu lalu hingga 5 Februari ini.

Operasi membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa itu mencakupi pemeriksaan di terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar dan lebuh raya yang dijalankan berterusan 24 jam sehari, berkuat kuasa Jumaat ini hingga 1 Februari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata antara agensi penguat kuasa yang akan terbabit dalam operasi bersepadu itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Sebanyak 27 kes sudah direkodkan, termasuk satu kes tangkapan ulat tiket manakala 383 kenderaan diperiksa dan sebanyak lapan operasi penyamaran dijalankan SPAD dengan menaiki empat perjalanan menggunakan bas ekspres pada 21 hingga 23 Januari lalu.

“Ia bagi mengingatkan pengendali dan pemandu bas bahawa mereka memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, pengendali juga perlu memastikan pemandu sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan pada setiap masa, selaras dengan peraturan keselamatan yang digariskan dalam Kod Amalan Keselamatan Industri SPAD (ICOP).

Beliau berkata, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengenakan hukuman maksimum mengikut undang-undang ke atas pengendali pengangkutan awam darat yang gagal mematuhi peraturan.

Nancy berkata, orang ramai digalakkan untuk membuat sebarang laporan jika terdapat perlanggaran peraturan atau undang-undang menerusi talian hotline 24 jam SPAD di 1-800-88-SPAD (7723) atau e-mel kepada aduan@spad.gov.my atau melalui Twitter untuk @aduanSPAD. – WD MY