KUALA LUMPUR, 13 April – Lancar Operasi Aedes…… Sejumlah 12,110 premis telah diperiksa
dan 39 kompaun berjumlah RM19,500 dikeluarkan hasil operasi penguatkuasaan
pembiakan nyamuk Aedes di seluruh negara yang bermula semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam satu kenyataan di laman
Facebooknya semalam berkata kesemua premis yang didapati membiak Aedes dikenakan kompaun
maksimum RM500 bagi setiap kompaun dalam operasi yang dilaksanakan oleh
Kementerian Kesihatan selama dua bulan itu.

“KKM juga menjalankan aktiviti penguatkuasaan di tapak binaan kerana
didapati kadar pembiakan Aedes masih tinggi iaitu 31.8 peratus, melebihi sasaran
satu peratus yang ditetapkan.

“Perintah penutupan (oleh) mahkamah selama dua minggu akan dikenakan kepada
tapak binaan yang didapati membiak Aedes selain tindakan didakwa di mahkamah
bagi kesalahan berulang,” kata kenyataan itu.

Sejumlah 324 lokaliti terlibat dalam operasi itu iaitu 109 di Kelantan, 62
di Selangor, 51 di Kedah, 35 di Terengganu, 18 di Johor, 10 di Negeri Sembilan,
tujuh di Sarawak, enam di Perak, enam di Pahang, lima di Perlis, lima di Kuala
Lumpur dan Putrajaya, empat di Sabah, masing-masing dua di Pulau Pinang, Melaka
dan Labuan.

Pemantauan KKM juga mendapati jumlah kumulatif kes demam denggi yang
dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 9 April tahun ini adalah
39,221 kes, meningkat sebanyak 9.9 peratus atau 3,520 kes bagi tempoh yang sama
tahun lepas iaitu 35,701 kes. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY