SERDANG, 7 Ogos – Tahan 4 Individu….. Pihak Polis Daerah Serdang melancarkan Op Cantas Khas 2, malam semalam dalam usaha mengekang kegiatan jenayah membabitkan kumpulan gangsterism.

Operasi yang bermula jam 10 malam itu membabitkan 10 pegawai dan 60 anggota yang dipecahkan kepada 10 kumpulan dengan menyasarkan lokasi tumpuan orang ramai termasuk pusat hiburan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata empat individu berusia 20-an ditahan dalam operasi itu kerana terbabit dengan kesalahan dadah.

“Matlamat operasi ini dibuat adalah memberkas mereka yang disyaki terbabit dalam aktiviti gangsterism dalam Daerah Serdang. Kebanyakan yang kita kenal pasti adalah membabitkan jenayah kekerasan.

“Lokasi yang diperiksa dipilih secara rawak dan tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang operasi dijalankan,” katanya selepas operasi tamat, awal pagi tadi.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, dalam operasi itu seramai 210 orang diperiksa di tiga premis sekitar Serdang selain turut memeriksa 66 buah kenderaan. – WD MY

LEAVE A REPLY