ALOR SETAR, 21 Julai – Tahan…… Seorang lagi ahli kongsi gelap Kedah diberkas polis hari ini, menjadikan keseluruhan 17 orang dari negeri ini ditahan melalui Operasi Cantas Khas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al-Athrash Wahid, berkata lelaki berusia 30-an terbabit yang bergiat aktif dalam kegiatan kongsi gelap di negeri ini ditahan polis di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Penahanan terbaru itu menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 17 orang berusia 20 hingga 40-an.

“Malah beberapa ketua geng kongsi gelap terbabit turut ditahan dalam operasi ini di sekitar Sungai Petani.

“Mereka ini ditahan kerana terbabit dalam kegiatan jenayah terancang membabitkan kongsi gelap hasil maklumat orang awam dan risikan pihak polis,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah malam tadi.

Beliau berkata ketika serbuan, beberapa kenderaan milik ahli kumpulan kongsi gelap turut disita mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. – WD MY