KUALA LUMPUR, JAN 25: ORANG ASLI…Naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menyifatkan masyarakat Orang Asli begitu istimewa bagi BN dan sentiasa ditatang oleh kerajaan sewaktu parti itu mentadbir negara.

Ismail berkata di bawah pentadbiran BN dahulu, masyarakat Orang Asli sentiasa diberi perhatian bukan sahaja dalam soal kebajikan, malah pendidikan mereka.

“Orang Asli merupakan masyarakat Bumiputera yang cukup istimewa. Untuk pendidikan mereka kerajaan (BN) menyediakan biasiswa penuh kepada Orang Asli.

“Bukan sahaja sekolah percuma malah mereka dibekalkan dengan pakaian lengkap persekolahan percuma dan mereka mendapat duit poket dari kerajaan dan lain-lain keistimewaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) akan memberikan ‘kewarganegaraan penuh’ kepada masyarakat Orang Asli.

Kata Ismail, kenyataan itu seolah-olah menunjukkan Lim menganggap Orang Asli sebelum ini sebagai penduduk tetap (PR) di negara ini.

“Apakah selama ini Lim menganggap masyarakat Orang Asli ini berstatus penduduk tetap (PR) yang diberikan kerajaan malaysia?,”

“Apakah secetek itu pemikiran seorang Ahli Parlimen yang paling lama berada dalam Dewan Rakyat ini?”soal beliau.

Selain itu Ismail berkata banyak pembaharuan dilakukan bagi mengangkat kedudukan Orang Asli sewaktu beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Lim semalam dilapor berkata akan mencadangkan PH mengadakan persidangan wakil-wakil Orang Asli bagi merangka pelan tindakan agar masyarakat Orang Asli diberikan ‘warganegara penuh’ jika gabungan itu menang PRK Cameron Highlands.

Bagaimanapun Lim mungkin memaksudkan ‘kewarganegaraan penuh’ itu sebagai hak-hak sepenuhnya bagi masyarakat Orang Asli sebagai warganegara dan bukan status kerakyatan.

Lim turut mendakwa pentadbiran BN mengabaikan Orang Asli dengan menyebut laporan khas Suhakam mengenai nasib masyarakat itu.-MY WD