KUALA LUMPUR, JAN 3: ECRL…. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan orang miskin dan penduduk di negeri Pantai Timur berhak menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih baik seperti perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kebanyakan penduduk dapat memanfaatkan pembinaan sistem pengangkutan awam itu dari segi ekonomi selain merancakkan pembangunan setempat.

Katanya, sesuatu yang dukacita apabila Pakatan Harapan (PH) bertegas bahawa projek ECRL tidak menguntungkan.

“Ya, mungkin tidak ramai yang akan menggunakan laluan ECRL dan pengguna kebanyakannya orang miskin dan tidak membuat perniagaan yang besar seperti di laluan rel Pantai Barat.

“Jadi, kerajaan mungkin tidak akan mendapat pulangan yang besar seperti didakwa oleh kerajaan PH. Ini mungkin. Bukan pasti.

“Tetapi, orang miskin ini dan (penduduk) Pantai Timur juga berhak menikmati sistem pengangkutan awam yang moden, selamat dan cepat. Mereka juga berhak diberi peluang untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang ketara.

“Saya berulang kali menggesa mereka untuk mendedahkan laporan kebolehlaksanaan projek ECRL ini,” katanya dalam catatan di Facebooknya, malam tadi.

Najib juga mendakwa sudah berulang kali menggesa kerajaan untuk mendedahkan laporan kebolehlaksanaan projek ECRL.

Katanya, soalan yang ditujukan kepada kerajaan sekarang berhubung kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan pun masih belum dijawab.

“Selain hasil terus dari pengangkutan kargo dan penjualan tiket penumpang, apakah limpahan ekonomi, sumbangan kepada kenaikan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan apakah hasil daripada projek pembangunan berasas pengangkutan kepada kawasan sekitar stesen-stesen di setiap negeri masing-masing?

“Semua soalan ini masih tidak dijawab juga,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek ECRL.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu iaitu pada 24 Ogos lalu, kerajaan menyatakan bahawa sedang mengkaji sama ada akan menangguhkan atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan pembinaan pengangkutan rel itu.

Dalam laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata, projek ECRL berkemungkinan mampu diteruskan dalam skala yang lebih kecil.

Namun, katanya, ia bergantung sekiranya China bersetuju dengan langkah berkenaan sambil menegaskan perkara itu masih dalam perbincangan dan belum menemui jalan penyelesaian terbaik.-MY WD