KOTA KINABALU, 9 JUN – TAHAN….. Tindakan pantas orang awam membantu mangsa ragut yang juga pelancong asing membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan, di Jalan Gaya berhampiran perpustakaan lama, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, wanita warga China berusia 26 tahun dikatakan melalui kawasan berkenaan dipercayai berjalan pulang seorang diri ke hotel penginapannya.

Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba didatangi seorang lelaki dari arah belakang sebelum meragut beg tangan miliknya sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata mangsa yang terkejut dengan kejadian itu menjerit meminta pertolongan orang awam.

Katanya, kejadian disedari seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun yang bertindak mengejar suspek.

“Penjenayah itu kemudiannya berjaya ditahan dan beg mangsa yang mengandungi pasport dan wang tunai itu turut dirampas semula daripada suspek.

“Mangsa diserahkan kepada polis dan kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak dengan cara meragut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Sehubungan itu, Habibi merakamkan penghargaan kepada orang awam atas keberanian dan kecekapan membantu menahan suspek dalam insiden ini. – WD MY