KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan
orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 kerana perhimpunan itu
menyalahi undang-undang.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata mana-mana orang yang
terlibat dalam perhimpunan yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA)
boleh diambil tindakan serta-merta yang berkuat kuasa mengikut keadaan.

“Ini kerana perhimpunan berkenaan tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 11
APA (Akta 736) kerana tidak mendapat kebenaran daripada tuan punya pemilik
tempat.

“Berikutan itu, polis juga ingin mengingatkan ibu bapa atau penjaga supaya
tidak membawa kanak-kanak dalam perhimpunan itu kerana ia menjadi kesalahan di
bawah Seksyen 20 (1)(c) APA, Akta 736,” katanya dalam sidang media di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Selain itu, perjumpaan antara polis dan penganjur perhimpunan di IPD Dang
Wangi hari ini, gagal mencapai kata sepakat.

Zainol berkata penganjur tetap berdegil dan mahu meneruskan perhimpunan itu.
“Polis telah menasihatkan penganjur Bersih 4.0 agar perhimpunan itu tidak
dibuat di Dataran Merdeka kerana sebelum ini penganjur majlis sambutan Hari
Kebangsaan 2015 telah memohon kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka.

“Menurut Sekyen 17(2)(a) APA, Akta 736 tidak boleh diadakan dua perhimpunan
di tempat sama, pada tarikh yang sama secara serentak,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY