KUALA LUMPUR, 24 Okt – Sokong……. Usaha kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan memastikan rakyat dan pengguna di Kuala Lumpur dapat menggelakkan kesesakan lalulintas dengan mencadangkan tram sebagai alternatif disambut baik pengguna.

Kerajaan mengadakan kajian kemungkinan ke atas perkhidmatan tram sebagai alternatif kaedah pengangkutan awam di Kuala Lumpur menarik minat penduduk bandar raya ini.

Mereka mengakui ia mampu menggalakkan lebih ramai orang menggunakan
pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan jalan raya yang
cukup sinonim dengan kehidupan di bandar raya.

Bagi usahawan, Syasya Idris, 46, berkata perkhidmatan tram mampu menambah
nilai dan meningkatkan sistem pengangkutan awam sedia ada kerana ia bukan
sekadar menjadi penghubung antara satu tempat dan tempat lain tetapi juga
menaikkan lagi nama Kuala Lumpur di pentas antarabangsa.

“Saya mempunyai pengalaman menggunakan tram di Paris dan saya harap lebih
ramai orang akan memilih kaedah pengangkutan ini apabila ia diadakan di sini
kerana ia lebih cekap.

“Jika perkhidmatan tram diadakan di sekitar kawasan Kuala Lumpur, saya
adalah antara yang paling gembira,” katanya.

Seorang lagi warga kota, Jerry Chong, 50, mengalu-alukan rancangan itu yang
memberi pilihan tambahan kepada orang ramai untuk ke pejabat atau aktiviti lain.

“Saya gembira dengan kerajaan yang merancang sesuatu seperti ini untuk
meringankan keluhan penumpang seperti kami,” katanya.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melakukan kajian kemungkinan
perkhidmatan tram di Kuala Lumpur sebagai kaedah alternatif pengangkutan awam.
Menurut laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD)
2010-2015, kajian itu akan selesai pada tahun depan. – WD MY