KUALA LUMPUR, 2 Nov – Tidak Terkecuali……. Ke semua anggota pentadbiran kerajaan yang
telah mengangkat sumpah rahsia tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat yang
tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) di mana-mana premis termasuk di
Parlimen.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau telah merujuk perkara itu
kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan penasihat
undang-undang.
Jelasnya, halangan sama turut terpakai kepada anggota pentadbiran tersebut
walaupun mereka tidak lagi memegang jawatan itu.
“Mana-mana anggota pentadbiran iaitu yang telah mengangkat sumpah rahsia
yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi tidak boleh sama ada semasa memegang
jawatan atau selepas memegang jawatan, di mana-mana premis yang mempunyai
kekebalan sekalipun, tidak boleh menyingkap persoalan yang terlingkup di dalam
Akta Rahsia Rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang
Perbekalan 2017 peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, maklumat yang tertakluk
di bawah OSA itu juga tidak boleh didedahkan oleh seseorang anggota Parlimen
walaupun sewaktu berbahas atau berucap di Dewan Rakyat.

Menjelas lanjut mengenai tindakan polis memanggil tiga bekas menteri untuk
diambil keterangan baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata sebanyak 15 laporan polis
telah dibuat terhadap mereka bertiga dan polis bertindak berdasarkan kepada
laporan itu.
“Apa yang diambil pihak polis adalah mengambil keterangan, jadi setelah
keterangan itu diperoleh dalam bentuk apa pun, ia akan diserahkan kepada Jabatan
Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan menyatakan kepada Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar jika keterangan terhadap ketiga-tiga bekas
menteri itu boleh dibuat selepas selesai sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada Khalid untuk menentukannya sama
ada ia harus dilaksanakan sekarang atau sebaliknya.
“Dalam perkara ini, saya fikir Insya-Allah kita akan berlaku adil,
kementerian dan polis akan berlaku adil. Mereka ini juga kawan-kawan rapat saya
hingga sekarang, jadi saya akan bertindak secara profesional,” katanya. – WD MY