KUALA LUMPUR, 1 Nov – Buat Semakan Kali Kedua….. Pihak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara (JAN) membuat semakan kedua terhadap Perkhidmatan 1BestariNet di semua sekolah di seluruh negara.

Datuk Seri Hassan Arifin dalam kenyataan hari ini, berkata ia susulan pihaknya mendapati masalah yang timbul dalam pelaksanaan Perkhidmatan 1BestariNet di sekolah berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan kontrak selain wujud perbelanjaan kerajaan meragukan.

“PAC menolak alasan dikemukakan Kementerian Pendidikan yang ‘tidak sedar’ kewujudan pekeliling berhubung Makmal Pengurusan Nilai (VML) membabitkan Perkhidmatan 1BestariNet.

“Justeru, PAC mencadangkan kepada kerajaan supaya audit susulan secara keseluruhan dilakukan sama ada kerana wujud perbelanjaan kerajaan yang meragukan,” katanya.

hsa

Laporan Ketua Audit Negara pada 2013 mendedahkan projek 1BestariNet Kementerian Pendidikan didapati tidak memenuhi sasaran tempoh dua tahun setengah untuk menyediakan khidmat jalur lebar 4G serta Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada 10,000 sekolah di seluruh negara.

Projek 1BestariNet adalah inisiatif Kementerian Pendidikan dengan YTL Communications Sdn Bhd bagi mengganti dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah.

Projek itu membabitkan 10,000 sekolah yang dilengkapi dengan akses internet berkelajuan tinggi dan akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia.

Hassan berkata, susulan itu PAC mahu Jabatan Audit melaksanakan kajian keberkesanan terhadap pelaksanaan projek 1BestariNet di samping akan melakukan lawatan ke sekolah bandar dan luar bandar.

“Jabatan Audit juga diminta untuk meneliti semula dokumen perjanjian kontrak 1BestariNet bagi memastikan kepentingan kerajaan dilindungi,” katanya. – WD MY