KUALA LUMPUR, 3 Nov – Ditegur…… Pihak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati perbelanjaan program saluran TV1 dan TV2 berjumlah RM43.7 juta adalah di luar skop Pengurusan Projek Pembangunan Kandungan Penyiaran Digital (PKPD).

Datuk Seri Hasan Ariffin selaku Pengerusi PAC, berkata projek itu juga tidak mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Perbendaharaan.

Katanya, PAC juga menegur perolehan program TVi berjumlah RM111.83 juta yang melebihi peruntukan sejumlah RM21.79 juta bagi tempoh 2011 hingga Jun 2013.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga tidak memohon peruntukan pembangunan tambahan bagi membiayai tanggungan berjumlah RM61.78 juta,” katanya dalam kenyataan media mengenai PKPD yang dikeluarkan di sini, hari ini.

PAC membentangkan laporan PKPD itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasan berkata, PAC juga menegur mengenai kelewatan 77 program disiapkan mengikut jadual dan 78 program didapati melebihi tempoh kontrak asal membabitkan kelewatan antara 15 hari hingga 14 bulan.

Justeru, katanya, PAC mengarahkan KKMM dan RTM membuat penambahbaikan terhadap isu dibangkitkan serta memantapkan kawalan dalam urusan pembayaran dan perolehan.

“PAC juga mahu KKMM dan RTM memastikan setiap prosedur serta pekeliling berhubung tatacara kewangan dipatuhi sepenuhnya bagi mengelak ketirisan dan penyelewengan,” katanya.

PAC turut mengesyorkan perancangan perolehan dibuat rapi, manakala perancangan pembelian program dibuat bagi tempoh dua hingga tiga tahun ke depan.

“PAC juga mencadangkan supaya kontrak dilaksanakan mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan,” katanya. – WD MY