MIRI, 4 Jan – MENYERUPAI….. Seorang pemuda membawa pemetik api menyerupai bom tangan ketika melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Miri mengundang padah bagi dirinya apabila ditahan polis.

Suspek berusia 23 tahun ditahan jam 9.20 malam di balai berlepas lapangan terbang itu ketika pemeriksaan bagasi dan imbasan badan di situ.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pemuda itu dalam perjalanan dari Miri ke Johor Bahru menyembunyikan objek berkenaan dalam beg kecil yang dibawanya.

“Ketika pemeriksaan dibuat menggunakan mesin pengimbas, satu objek mencurigakan menyerupai bom tangan dijumpai disembunyikan dalam beg suspek,” katanya hari ini.

Beliau berkata, suspek dikatakan membeli pemetik api berkenaan di Johor Bahru.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Sekyen 32, Akta Senjata 1960. – WD MY