ISKANDAR PUTERI, 2 Mei – Ditahan….. Seorang lelaki yang bekerja sebagai juruelektrik ditahan bagi membantu siasatan polis selepas disyaki memuat naik kenyataan berunsur fitnah dan hasutan dalam laman sosial Facebook (FB) terhadap Menteri Besar Johor dan sebuah syarikat utiliti di negeri ini.

Suspek berusia 22 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan IPD Pontian, kira-kira jam 1.45 pagi tadi di Ayer Baloi, Pontian dekat sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata penahanan suspek adalah susulan laporan diterima pihaknya berkaitan dengan penyalahgunaan laman media sosial itu.

“Susulan penahanan suspek, polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta kad sim bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pihak polis juga akan memohon reman terhadap suspek di Mahkamah Johor Bahru, pagi ini bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan. – WD MY