KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pengurusan Air…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pakar dan penggiat industri harus sentiasa mengikuti perkembangan ilmu dan teknologi terkini dalam pengurusan air bagi memastikan pembangunan lesatari sumber air.

Beliau berkata ini penting kerana teknologi akan dapat merangsang keadaan kurang baik yang berpunca daripada pengurusan air yang lemah dan digunakan sebagai usaha menyelesaikan isu itu.

“Kita perlu menguruskan air secara bijak dan efisien. Kita perlu inovatif.

“Ini kerana isu berkaitan air terutama kekurangan air yang berpunca daripada pengurusan yang lemah telah dikenal pasti oleh industri, kerajaan, ahli akademik dan masyarakat sebagai satu daripada tiga risiko global yang paling dibimbangi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa merasmikan Kongres Dunia ke-37 Persatuan Antarabangsa Hydro-Environment Engineering and Research (IAHR) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata trend pertumbuhan penduduk dan perbandaran serta corak penggunaan air akan terus membesar yang menyebabkan air semakin kekurangan.

Dalam dunia global, permintaan air, katanya, akan meningkat 55 peratus menjelang 2050 dan jika bekalan tidak mencukupi, ia boleh membawa kepada persaingan dan perjuangan untuk mendapatkan sumber air dalam kalangan negeri dan negara di rantau yang sama atau benua dan antara benua.

“Air adalah satu daripada cabaran terbesar bagi pembangunan lestari pada dekad-dekad akan datang.

“Kesannya dapat dirasai menepati kesemua tonggak kelestarian alam sekitar, sosial dan ekonomi,” katanya sambil menambah kata “kita tiada pilihan selain memastikan air diurus dengan cekap”.

Koordinasi kerajaan pusat dengan kerajaan negeri juga dipertingkat untuk tujuan itu. – WD MY