KUALA LUMPUR, OKTOBER 11: BIMBANG…Pakar ekonomi Terence Gomez menyifatkan rancangan untuk melaksanakan projek kereta nasional ketiga pada 2020 “agak bercita-cita tinggi”.

“Saya bimbang dengan tempoh masa untuk melaksanakan projek itu,” katanya kepada pemberita selepas berucap di China Conference di Kuala Lumpur semalam.

Gomez juga menyatakan kebimbangan berhubung keupayaan teknologi yang dimiliki Malaysia untuk menghasilkan kereta elektrik.

“Saya bimbang meskipun ia kereta elektrik.

“Penghasilan kereta elektrik adalah sektor berteknologi tinggi. Saya melihat pada syarikat tempatan dan tak ramai yang mempunyai pengetahuan dalam teknologi itu,” katanya.

Bulan lalu, Menteri Perdagangan dan Industri Darell Leiking mencadangkan agar projek nasional ketiga adalah kereta mampu milik yang mesra alam.

Sementara itu, Gomez mencadangkan faktor lain yang perlu diteliti adalah saiz pasaran untuk kereta yang dicadangkan dan pendekatan yang akan boleh diambil oleh pengusaha untuk mengelakkan kesilapan sebelum ini.

“Saya akan betul-betul meneliti perkara ini, keadaan semasa ia mahu dilaksanakan.

“Kita perlu mengambil pengajaran daripada Proton dan Perodua serta menelitik isu lain seperti saiz pasaran,” katanya.

Gomez, yang juga merupakan pensyarah di Universiti Malaya, menegaskan bahawa kerajaan perlu telus dalam mengambil kira maklum balas orang ramai sebelum keputusan berhubung projek berkenaan dibuat.

“Sebelum kita melaksanakan apa-apa, perlu ada debat terbuka – setelah semua faktor diambil kira untuk ditangani,” katanya.-MY WD