GEORGETOWN, 27 NOV – TUMPAS….. Seorang bekas juruteknik bersama anak saudara lelakinya bersubahat dengan seorang pengawal keselamatan bagi menjalankan kegiatan samun tembaga di sebuah kilang tempatnya bekerja dahulu di Perai, Butterworth.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam pada 17 November lalu, dua pengawal keselamatan bertugas di sebuah kilang pembuatan tembaga didatangi dua lelaki bertopeng yang bertindak memukul mereka dengan paip PVC sebelum mengikat tangan dengan tali kabel dan mengurung kedua-dua mangsa di pos pengawal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah, berkata kedua-dua suspek kemudian membuka pintu utama kilang dan membawa masuk sebuah lori seberat satu tan.

“Kedua-dua mereka yang berusia 30 dan 37 tahun meminjam lori dari saudara mara dan melarikan gelungan tembaga seberat 2,000 kilogram (kg) bernilai RM70,000.

“Dua pengawal keselamatan yang berada dalam pos pengawal berjaya membuka ikatan terbabit dengan gunting dan menghubungi ketua keselamatan kilang sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, semalam.

Zainol berkata, susulan daripada laporan yang dibuat, polis melakukan serbuan di sebuah rumah dekat Kebun Sireh, Bukit Mertajam dan menahan bekas juruteknik bersama anak saudaranya.

“Soal siasat yang dijalankan membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Myanmar.

“Tiga lelaki itu terdiri daripada pemilik barang lusuh berusia 34 tahun, pekerjanya berusia 28 tahun yang membeli tembaga hasil samun dan pengawal keselamatan berusia 23 tahun kerana bersubahat memberi maklumat serta menjadi mata-mata kepada suspek,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah lori bersama 200kg tembaga yang masih belum dijual serta wang tunai RM7,900 iaitu wang hasil jualan tembaga berkenaan.

Zainol berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berusia 37 tahun adalah bekas pekerja kilang terbabit yang baharu berhenti kerja secara sukarela pada 22 Oktober lalu.

“Kilang milik pelabur dari Taiwan itu sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan suspek yang pernah bekerja di situ menjadi perancang utama bagi melakukan kegiatan samun berkenaan.

“Sebelum ini, suspek bersama anak saudaranya pernah tiga kali masuk mencuri tembaga di kilang yang sama sejak 2016 membabitkan kerugian hampir RM200,000,” katanya.

Zainol berkata, suspek menjual tembaga di kedai lusuh dengan harga RM20 sekilogram, lebih murah berbanding harga pasaran iaitu RM30 sekilogram.

“Pemilik kedai barangan lusuh pula mengetahui tembaga yang dijual suspek adalah barang curi.

“Kelima-lima suspek yang ditahan kini direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata tajam,” katanya. – WD MY