PETALING JAYA, 18 April – CALON…. Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat minggu depan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata DAP akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.

“Minggu depan Majlis Presiden (PH) akan mengadakan mesyuarat. Saya tidak ingat (bila tarikhnya), tetapi memang ada.

“Keputusannya ialah DAP akan bertanding. Kita akan beri sokongan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Siri Dialog Digital DNA 23 malam tadi.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt memperolehi 10,098 majoriti selepas menewaskan Datuk Lim Ming Hoo daripada Parti Liberal Demokratik (LDP).

Mengenai kekalahan PH pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Anwar berkata, beliau masih menunggu laporan daripada pimpinan PKR peringkat Negeri Sembilan.

“Kita akan melakukan ‘post mortem’ (bedah siasat). Saya masih tunggu laporan daripada (PKR) negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson meminta pengusaha hotel dalam kawasan parlimennya supaya mengambil inisiatif mendidik pelancong luar dalam soal kebersihan.

“Ada beberapa aduan dan kami memerlukan (pengusaha) hotel memberi pendidikan kebersihan kepada semua pelancong,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pelancong asing dipercayai membuang air besar di pantai Batu 5, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Video yang tersebar di media sosial sejak kelmarin menerima kecaman ‘netizen’ serta menyifatkan perbuatan itu sebagai menjijikkan dan tidak menghormati pengunjung lain yang beriadah di pusat percutian berkenaan. – WD MY