KOTA BHARU, 28 APRIL – MENINGGAL DUNIA….. Seorang pembancuh air meninggal dunia ketika mengambil wuduk di Masjid Al-Baroah, Pasar Besar Siti Khadijah.

Dalam kejadian jam 7.15 malam, mangsa, Ibrahim Omar, 61, baru selesai berniaga di tingkat dua pasar berkenaan dan ke masjid itu untuk solat Maghrib.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika mangsa yang mesra dengan panggilan ‘Pakdo Him’ itu mahu mengambil wuduk, dia mengadu sakit dada.

“Orang ramai yang berada di tempat ini membantunya sebelum dia duduk di atas sebuah kerusi plastik bagi menghilangkan sakit dada.

“Saya tidak sangka dia menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan kepala bersandar pada dinding,” katanya malam tadi.

Rakan baik mangsa, Nazri Hussin, 38, berkata beberapa hari sebelum kejadian Ibrahim ada memberitahu dia berasa tidak sedap badan dan sakit di bahagian dada.

“Saya terkejut mendapat berita kematiannya ketika mahu menunaikan solat Maghrib,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Penambang, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – WD MY