ISLAMABAD, 19 SEPT – TOLAK…. Pakistan menolak permintaan daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk merentasi ruang udara negaranya untuk melakukan penerbangan menuju ke Jerman,” kata Menteri Luar Pakistan, hari ini.

Menteri Luarnya, Shah Mehmood Qureshi berkata, Islamabad sudah memberitahu Suruhanjaya Tinggi India bahawa pihaknya menolak permintaan Modi untuk terbang di ruang udara negaranya pada Jumaat depan dan pulang pada minggu berikutnya.

“Memandangkan situasi dihadapi Kashmir…kami sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan Perdana Menteri India menggunakan ruang udara itu,” kata Qureshi dalam satu video yang disiarkan Kementerian Luar Pakistan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar India, Raveesh Kumar berkata, New Delhi kecewa dengan keputusan Pakistan, sambil menambah bahawa ia adalah kali kedua dalam tempoh dua minggu permintaan untuk ‘VVIP’ menggunakan ruang udara ditolak negara itu.

“Pakistan perlu menilai semula keputusannya itu kerana ia menyimpang dari amalan antarabangsa selain menimbangkan semula tabiat lamanya yang menyalah tafsir sebab-sebab mereka mengambil tindakan sebelah pihak,” katanya.

Hubungan antara Islamabad dan New Delhi semakin tegang susulan keputusan India pada hujung bulan lalu dengan menggugurkan status khas di bahagian wilayah Kashmir yang dituntut kedua-dua negara. – WD MY