RAMALLAH, 16 Jan – IKTIRAF……. Pemimpin Palestin mengundi menggesa pengiktirafan ke atas Israel digantung dalam tindakan yang berpotensi memburukkan implikasi ketika bertindak balas kepada pengumuman Baitulmaqdis sebagai ibu kota wilayah Yahudi itu oleh Presiden Donald Trump.

Walaupun penarikan semula pengiktirafan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) ke atas Israel boleh mencetuskan kritikan antarabangsa, tidak dapat dipastikan sama ada undian itu menjadi undang-undang.

Undian sebelum ini oleh Majlis Pusat Palestin (PCC), sayap tertinggi PLO, pada 2015 untuk menggantung penyelarasan keselamatan dengan Israel tidak pernah dilaksanakan.

Walaupun jika langkah itu tidak ke mana-mana, undian berkenaan adalah satu lagi luahan kemarahan Palestin berhubung pengumuman Trump dan apa yang mereka lihat sebagai serangan Rumah Putih ke atas usaha sekian lama menubuhkan negara sendiri.

Ketika merasmikan mesyuarat kelmarin, Presiden Mahmud Abbas, yang mengundi menyokong penggantungan itu, menyifatkan usaha damai Trump sebagai ‘tamparan abad ini’.

Undian mengarahkan PLO menggantung pengiktirafan terhadap Israel sehingga ia ‘mengiktiraf Palestin’, membatalkan pencerobohan di timur Baitulmaqdis dan menghentikan aktiviti penempatan, menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan, delegasi juga menyokong kenyataan Abbas bahawa perjanjian damai Oslo pada awal 1990-an, yang membentuk asas hubungan Palestin dengan Israel, sudah ‘berakhir’. – WD MY